Saturday, 18 June 2011

Bahasa Melayu SPM - Kajian Novel SPM 2 : Kembara Amira (Novel T5, Calon SPM 2011)

Bahasa Melayu SPM'2011

Kajian Novel SPM 2 : Kembara Amira (Novel Tingkatan 5, Calon SPM 2011)


Sinopsis
Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan. Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama pelajar tahun akhir. Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. Amira juga telah berkenalan dengan Malique.
Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut. Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung.
Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia. Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah. Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua. Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique. Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.
Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia. Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi). Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik Malique.
Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa. Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris. Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

Tema
 Pengembaraan seorang remaja perempuan dalam mematangkan hidupnya. Hal ini digambarkan melaui watak Amira. Amira sebagai watak utama menghabiskan cuti persekolahan dengan menyertai ibunya iaitu Profesor Zaidah dalam ekskavasi menjejak kewujudan tamadun manusia. Dalam pengembaraan tersebut, Amira bertemu dengan Malique dan Itai sehingga merungkai konflik keluarga, sejarah tragis keluarga Tau.

Persoalan
1. Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Persoalan ini digambarkan melalui sikap Profesor Zaidah yang sanggup meninggalkan kerjanya demi mencari Amira di Gunung Gua Gajah.
2. Persoalan perkahwinan kedua menimbulkan konflik jiwa dalam diri anak-anak. Perkara ini dipaparkan melalui konflik jiwa yang dialami oleh Jacinta kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya yang dikahwini oleh bapanya setelah kematian ibu kandungnya. Konflik ini telah menyebabkan Jacinta selalu mengelak daripada berjumpa dengan keluarganya.
3. Persoalan kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar. Hal ini dapat dibuktikan melalui kerakusan manusia yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan khazanah hutan untuk mencari emas.
4. Persoalan kecintaan terhadap alam sekitar. Persoalan ini digambarkan melalui sikap dingin Tau terhadap kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya kerana risau kawasan tersebut akan musnah.
5. Persoalan konflik keluarga. Persoalan ini dipaparkan melalui konflik yang terjadi dalam keluarga Tau setelah isterinya iaitu Ipah melarikan diri bersama Johnny. Ipah telah meninggalkan anaknya yang baru dilahirkan dan membawa Sabi bersamanya menyebabkan terjadinya perpecahan keluarga.
6. Persoalan ilmu perubatan tradisional. Hal ini digambarkan melalui watak Ludin yang menggunakan cara perubatan tradisional untuk menyembuhkan Prof. Zaidah yang mengalami keretakan tulang tangannya.
7. Persoalan integrasi kaum. Contohnya, dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.

Pembinaan Plot
(i) Permulaan
 Amira bersama Jacinta memulakan pengembaraan menaiki keretapi ke Bukit Mat Raya untuk menyertai ekskavasi menjejak kewujudan tamadun awal manusia.
(ii) Perkembangan
 Amira dihanyutkan oleh arus deras semasa menunggu Malique dan telah diselamatkan oleh Itai.
 Malique hilang apabila keretanya tergelincir ke dalam sungai semasa gerakan mencari salah seorang pekerja O’Hara yang hilang.
 Tau bersetuju untuk membantu Profesor Zaidah dalam usahanya menjejak kewujudan tamadun awal manusia.
 Malique merancang sesuatu untuk menggagalkan rancangan O’Hara.
(iii) Klimaks
 Kumpulan yang diketuai oleh Dr. Zawawi menjumpai Gunung Gua Gajah yang mengandungi artifak (kapak dan tulisan zaman purba di dinding) yang sangat berharga untuk memastikan kawasan tersebut tidak akan diterokai oleh manusia yang rakus mengaut keuntungan dari sumber alam kawasan tersebut.
(iv) Peleraian
 Akhirnya rahsia terbongkar bahawa makhluk yang berbulu adalah Tau manakala Malique dan Itai adalah anak-anak Tau.
 Akhirnya kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan peninggalan sejarah yang harus dilindungi.

Teknik Plot / Teknik Penceritaan
1. Pemerian
Mereka berada di khemah ketiga selepas khemah Dr. Zawawi dan khemah Prof. Zaidah, khemah-khemah tersusun dalam bentuk separa bulatan, dengan paling hujung adalah khemah dapur.
2. Dialog
“ tentu tiket tu dah sampai, ” Amira bersuara antara dengar dengan tidak
“ Apa? ” Jacinta bagaikan tidak pasti dengan soalan Amira.
3. Imbas kembali
Amira ketawa kerana mengingatkan kembali kenangan semasa berada di Gua Niah ketika mereka turut serta dalam kerja lapangan yang dilakukan oleh ibunya. Ketika itu Dr. Zawawi sedang menyiapkan tesis sarjananya.
4. Kejutan
Pembaca terkejut apabila mendapat tahu bahawa Malique dan Itai merupakan anak kepada Tau.
5. Suspens
 Dia tidak pasti ke mana dan siapa manusia yang sering membawa makanan untuknya. Malique tidak sempat bertanya di mana dia sekarang. Tetapi siapakah manusia itu. Adakah manusia itu mempunyai kaitan dengan hidupnya? Kenapa manusia itu membantunya tetapi tidak berusaha mencari dari mana dia datang.
 Apa benda itu?” Jacinta turut tidak sabar. Hatinya berdebar-debar kencang dan setelah berminggu berada di perbukitan itu, Jacinta amat berharap mereka akan melakukan satu penemuan penting dan dia amat berharap perkara itu berlaku.
 Tiba-tiba Rusdi menjerit memanggil Dr. Zawawi. Dr. Zawawi yang sedang asyik merakamkan dinding gua terkejut dengan panggilan Rusdi lalu menghentikan rakaman dan berlari ke arah Rusdi dan Itai. Dia tahu Rusdi telah menemui sesuatu yang berharga dalam kajian mereka.
 Ingatannya kembali pulih lalu teringatkan emaknya yang berada di Melaka entah kenapa emaknya terlalu beria-ria menyuruhnya mengikut O’Hara ke dalam hutan itu. Apakah ada satu hubungan yang misteri antara emaknya dan O’Hara? Emaknya yang berambut keperangan dan bermata biru bagai ada kaitan dengan O’Hara yang berkulit putih.

Watak Utama
1. Amira
 Pelajar sekolah swasta.
 Anak Profesor Zaidah.
 Ayahnya bekerja sebagai jurutera IT.
 Seorang yang berani. Contohnya Amira berani mengikut Itai untuk mendaki Gunung Gua Gajah walaupun berbahaya.
 Seorang yang penyayang. Contohnya Amira amat menyayangi Jacinta dan dia menangis apabila Jacinta tidak sedarkan diri kerana sesat di hutan.
 Seorang yang mudah mesra. Contohnya Amira cepat menyesuaikan diri bersama pelajar-pelajar ibunya.
 Seorang yang penyabar. Contohnya Amira sabar dalam usaha menjalankan kerja lapangan yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
WATAK SAMPINGAN
1. Jacinta
 Berkulit cerah.
 Berbangsa Cina.
 Rakan sebilik Amira di sekolah swasta.
 Anak seorang jutawan.
 Telah kematian ibunya empat tahun lalu.
 Seorang yang memendam rasa. Contohnya Jacinta tidak berpuas hati dengan ayahnya yang berkahwin lain tetapi Jacinta tidak cuba untuk berterus terang.
 Seorang yang sensitif. Contohnya Jacinta cepat merajuk apabila isu keluarganya diungkit.
Watak dan Perwatakan
 Seorang sahabat yang setia. Contohnya Jacinta sentiasa bersama-sama dan menemani Amira dalam apa-apa jua keadaan.
2. Itai
 Berkulit gelap.
 Berbadan tegap.
 Anak orang asli yang bersekolah di bandar.
 Anak kepada Tau.
 Bakal ketua kampung.
 Seorang yang tahu selok belok hutan. Contohnya setelah belajar daripada Tau, akhirnya Itai berjaya mengenal selok belok hutan. Sebagai contoh, dia berjaya menyelamatkan Amira daripada dihanyutkan oleh arus deras.
 Seorang yang prihatin. Contohnya apabila mengetahui Jacinta mahu memiliki batu Kuartza seperti Amira, Itai berusaha memujuk Jacinta dengan mendapatkan emas untuk dijadikan loket.
 Seorang yang berani. Contohnya, Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.
 Seorang yang mempunyai keistimewaan deria keenam. Contohnya Itai dianugerahkan kelebihan deria keenam iaitu dapat mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin.
3. Profesor Zaidah
 Wanita pertengahan usia
 Ibu kepada Amira
 Pensyarah universiti
 Meminati bidang arkeologi
 Seorang yang penyayang contohnya, sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.
 Seorang yang tegas. Contohnya sebagai pengarah projek di Desa Karpus, Prof Zaidah tegas dalam memberi arahan kepada setiap gerak kerja yang akan dilakukan.
 Seorang yang tidak mudah berputus asa. Contohnya, Walaupun Prof Zaidah dihujani dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti keretanya pernah disabotaj sehingga terbabas, namun beliau bertegas untuk meneruskan projek cari gali tersebut.
4. Tau
 Seorang yang tinggi lampai.
 Berbadan tegap.
 Bapa kepada Malique dan Itai.
 Bekas suami kepada Ipah (Jennifer).
 Adik kepada Ludin.
 Seorang yang bersifat prejudis. Contohnya, Tau tidak menyenangi kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya walaupun tanpa mengetahui tujuan mereka.
 Seorang yang sanggup berkorban. Contohnya Tau sanggup menggantikan abangnya Ludin untuk berkahwin dengan Ipah agar abangnya dapat menjadi ketua kampung.
 Seorang yang prihatin. Contohnya, pada setiap malam, Tau sanggup berada di Desa Karpus untuk menjaga keselamatan pelajar-pelajar Prof Zaidah tanpa pengetahuan mereka.
5. Malique (Sabi)
 Berkulit gelap.
 Berambut kasar.
 Anak Tau dengan Ipah.
 Abang kepada Itai.
 Seorang yang mahir dalam bidang IT. Contohnya, O’hara menyuruh Malique menyiapkan laporan menggunakan kemahiran IT yang dimilikinya.
 Seorang yang mencintai alam sekitar. Contohnya, Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.
 Seorang yang bersopan-santun. Contohnya, semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.

Gaya Bahasa
1. Simile
Contoh:
 Nafasnya naik turun kerana bagai mengejar kelajuan Itai melangkah.
2. Personifikasi
Contoh:
 Ketika itu jugalah seorang lelaki menerkam lalu menikam bertalu-talu ke arah dada
 haiwan itu menyebabkan haiwan itu meraung dan dia akan tersedar dari tidurnya.
3. Hiperbola
Contoh:
 “Aku minta maaf kerana apa yang telah berlaku kerana ketika itu aku bukan manusia. Aku masih dipengaruhi oleh roh beruang yang menguasai kulit itu”
4. Sinkope
Contoh:
 “Oi... kau tak teringin benda ni?” Amira bersuara dengan kuat untuk menarik perhatian Jacinta
Gaya Bahasa
5. Inversi
Contoh:
 Kita hanya perlu berjalan mungkin satu atau dua jam dan di sana kamu nanti semua boleh lihat sendiri apa yang saya maksudkan.
6. Kata Ganda
Contoh:
 Jidin menyelak daun-daun hijau dan pertama yang dia lihat adalah mata biru Samantha.
7. Peribahasa
Contoh:
 Akhirnya ikan akan pulang ke lubuk jua walaupun kita cuba menghalang takdir.

Nilai
1. Nilai bekerjasama
Contoh:
 Pelajar tahun akhir telah bertungkus-lumus dan bekerjasama untuk memastikan projek yang dijalankan berjaya.
2. Nilai kasih sayang
Contoh:
 Kasih-sayang antara Amira dan ibunya. Sebagai ibu, Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak menyedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.
3. Nilai keberanian

Contoh:
 Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.
4. Nilai cinta akan alam sekitar
Contoh:
 Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.
5. Nilai semangat bermasyarakat
Contoh:
 Dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.
6. Nilai kesopanan
Contoh:
 Semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.
7. Nilai ketaatan
Contoh:
 Itai taat dan mematuhi arahan bapanya Ludin supaya tidak membawa orang luar ke kawasan lubuk emas.
8. Nilai amanah
Contoh:
 Ludin sangat amanah dalam menjaga rahsia bahawa Itai adalah anak kepada Tau bertahun-tahun lamanya.
9. Nilai keikhlasan
Contoh:
 Amira ikhlas mengajak rakannya Jacinta untuk menyertai percutiannya di Bukit Mat Raya.
10. Nilai tolong-menolong
Contoh:
 Ludin menolong mengubati tangan Prof. Zaidah yang tercedera akibat kemalangan yang berlaku bersama Pak Lias.

Pengajaran
1. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya memberikan kasih-sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Contohnya, kasih-sayang antara Amira dan ibunya. Sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus.
2. Kita seharusnya memelihara dan menghargai alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan. Contohnya, Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.
3. Kita seharusnya bekerjasama dalam pasukan bagi menjayakan sesuatu matlamat. Contohnya, pelajar tahun akhir telah bertungkus-lumus dan bekerjasama untuk memastikan projek yang dijalankan berjaya.
4. Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kita seharusnya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat yang berbilang kaum. Contohnya, dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.
Pengajaran
5. Kita seharusnya tolong menolong antara satu sama lain terutamanya semasa dalam kesusahan. Contohnya, Ludin menolong mengubati tangan Prof. Zaidah yang tercedera akibat kemalangan yang berlaku bersama Pak Lias.

- Kredit kepada : Cikgu G.N. Rajan  (KAViNA Tuisyen)

No comments:

Post a Comment